Monday, May 25, 2009

Titom Keranamu Kami Di Sini - episod 3 ( apa nak dikata)

Salam pada semua, kisahnya berlaku pada hari semalam iaitu hari ahad 24.05.2009, sebagai manusia kita hanya mampu merancang namun tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku pada hari dan waktu yang mendatang melainkan Yang maha Esa. Macam biasa, hari Ahad adalah hari yang perlu kami bertungkus-lumus untuk sampai ke 'lost world'. Maka mereka yang sama-sama akan berjuang bersama aku tiba di kg Betau dan berkumpul lebih kurang pukul 5.00pm. Mereka itu adalah termasuk aku, matrof, Jani, Azmil, Romi, Matnor, Hafiz dan encik habibuddin. Namun kami bergerak agak lewat iaitu hampir pukul 6.00pm kerana terpaksa menunggu motor en habib yang terpaksa dibaiki di bengkel motor Rosli di kg Betau. Setelah semuanya selesai, maka kami pun meneruskan perjalanan. Jalan agak basah kerana sebelum itu hujan baru saja membasahi bumi. Maka kami terpaksa mengurangkan kadar kelajuan yang biasanya kami gunakan kerana bagi mengelak sebarang kejadian ataupun kecelakaan yang idak diingini.

Segalanya berjalan lancar sehingga di pertengahan jalan, selepas berhenti rehat selama 10 minit maka kami semua meneruskan perjalanan, pada waktu itu, panggilan sang malam bakal menjelma dan jam sudah menunjukkan 6.30pm namun keadaan jalan agak gelap kerana kami berada di tengah-tengah hutan. Selepas itu satu persatu ujian yang terpaksa kami tempuh dan ianya bermula dengan jentera azmil yang mengalami masalah iaitu motornya tidak boleh tekan gear dan free gear. Maka untuk menyelamatkan keadaan kelajuan kami semua perlu diperlahankan agar azmil tidak ketinggalan bersama-sama rombongan yang ada, ini kerana motor azmil hanya kekadang buleh guna gear satu sahaja, perghhhh harap2 tiada apa2 yang berlaku lagi pasni, itu harapan kami namun sebaliknya tidak.

Setelah meneruskan hampir 2o minit perjalanan, kejadian yang seterusnya berlaku iaitu motor cikgu hafiz tiba-tiba mati di tengah jalan, emmm harap2 hanya plug sahaja yang rosak kerana enjinnya masih hidup cuma tidak boleh bergerak sahaja apabila memasukkan gear kerana tak cukup kuat. Maka plug ditukar dengan harapan akan kembali elok dan boleh meneruskan perjalanan, namun hasilnya ternyata gagal ini kerana motor cikgu hafiz masih lagi sempot dan api tidak cukup kuat, setelah gagal juga diperiksa oleh pakar2 motor yang agak mahir, namun kami semua sebulat suara membuat keputusan untuk meninggalkan motor cikgu hafis di salah sebuah rumah org asli yang terletak di tepi jalan, masa itu jam sudah menunjukkan kul 7.30 mlm. Maka cikgu Hafis terpaksa menumpang cikgu Jani untuk sampai ke 'lost world'. selang beberapa minit selepas itu, tayar motor cikgu matrof pula yang bocor a.k.a pancit. Setelah mengambil masa dalam 15 minit untuk menggantikan tiub baru maka kami semua meneruskan perjalanan dengan motor masing-masing sudah menyalakan lampu. Perjalanan di waktu malam agak terbatas sedikit kerana terpaksa berhati-hati apabila menuruni bukit dan melalui tepi-tepi lereng bukit. kemudian dengan tidak disangka-sangka tayar motor cikgu matrof telah bocor sekali lagi setelah meneruskan perjalanan dalam 10 minit, perhhhh nasib kurang baik hari ini,huhu, banyak2 la bersabar. Oleh kerana keadaan yang agak gelap dan jam sudah menunjukkan pukul 8.05 malam maka Cikgu matrof mengambil keputusan untuk meninggalkan sahaja motornya di tepi hutan. Maka cikgu matrof terpaksa dibonceng oleh aku untuk sampai ke destinasi. Selepas itu kami meneruskan perjalanan dengan agak perlahan kerana bagi mereka yang membonceng terpaksa berjalan bila melalui jalan yang bukitnya agak tinggi. Setelah melalui 40 minit perjalanan maka kami semua sampai ke 'lost wolrd' dengan keadaan yang agak letih dan tidak bermaya. Pada waktu itu jam hampir menunjukkan pukul 9.00 mlm.

Inilah hakikat yang kami terpaksa tempuh dan semestinya tiada siapa yang tahu akan kesusahan dan keperitan yang terpaksa kami tanggung di sini. Namun begitu kami semua berdoa agar selalu diberi kekuatan olehNYA agar dapat meneruskan perjuangan kami disini walauapun pelbagai rintangan yang melanda. Tahniah kepada warga SK Titom kerana mampu menunjukkan ikatan ukhwah dan kerjasama yang baik bila ada di antara kita yang ditimpa kesusahan. Harapan aku agar kita semua dapat meneruskan semangat cakna dan tolong menolong ini walauapun di mana jua berada, semoga kita semua terus suksess dan dimurahkan rezeki olehNya, amin.

No comments: