Monday, May 18, 2009

Selamat Hari Guru

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Berburu kepadang datar, 
Dapat rusa berbelang kaki, 
Berguru kepalang ajar, 
Bagai bunga kembang tak jadi
(Dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Guru oh Guru

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Di kesempatan ini aku ingin mengucapkan selamat hari guru buat semua warga guru SK titom, Kuala Lipis Pahang, semoga anda semua terus suksess di masa-masa akan datang dan sentiasa beroleh kesihatan yang baik bagi meneruskan perjuangan di dalam profesion ini, seterusnya selamat hari guru juga untuk semua warga pendidik di Malaysia, Semoga anda semua di rahmati olehNYA selalu, amin.


No comments: