Tuesday, May 17, 2011

Selamat Hari Guru 2011

Salam dari MU untuk anda semua, di kesempatan ini iaitu tanggal 16 Mei 2011, aku ingin ucapkan 'SELAMAT HARI GURU' kepada semua warga guru di Malaysia amnya dan semua warga guru di SK Manek Urai serta ' my old school' Sk Titom khasnya. Semoga niat suci kita semua untuk mendidik anak bangsa tuk berjaya menempuh alam kehidupan akan sentiasa di berkati Allah S.W.T. Semestinya di seluruh pelusuk negara, semua sekolah sibuk merayakan hari bersejarah ini. Dengan adanya sambutan seperti ini, diharap dapat meningkatkan lagi serta menguatkan hubungan antara guru dengan guru serta guru dengan murid. Dewasa ini, kita sering terbaca di dada akhbar dan juga media massa tentang pelbagai onak dan duri yang terpaksa di lalui oleh warga guru untuk meneruskan kerjaya di zaman moden ini dengan pelbagai liku-liku dan beban tugas kerja yang semakin mencabar. Namun tiada siapa yang memahami melainkan hanya kita yang bergelar warga guru. Sesungguhnya tak usah la kita cepat melenting dengan segala tohmahan yang dilemparkan terhadap profesion ini kerana manusia di luar sana kurang mengerti akan kesulitan dan keazaman kita dalam mendidik anak-anak mereka. Ramai manusia yang menganggap bila mana seseorang murid itu kurang pandai dalam pelajaran, maka guru lah yang ditunding jari kerana kekurangan ilmu untuk mengajar murid tersebut, Tetapi lain halnya pula apabila seseorang murid itu cerdik serta pandai dalam pelajaran, tiada pula guru itu disanjung sebaliknya mereka menganggap sememangnya murid itu sudah cerdik. Itulah hakikat serta senario yang berlaku dewasa ini. Namun kita sebagai warga guru harus berfikiran terbuka dan biarlah mereka berkira-kira dan menilai sendiri pengorbanan kita untuk anak-anak mereka. Bagi guru, jauh di sudut hati, tiada apa yang diharapkan melainkan ingin melihat anak-anak muridnya berjaya di dalam pelajaran dan akan sentiasa gusar dan gundah gulana serta sentiasa mencari idea baru untuk memastikan anak-anak muridnya yang kurang pandai agar tahu mengenal huruf dan mengira nombor. Itulah hakikatnya pengorbanan seorang guru. Dengan tema tahun ini ' Guru Menjana Transformasi Pendidikan Negara' yang menjadi inspirasi pucuk pimpinan negara supaya para guru sentiasa menyumbangkan modal insan yang berguna kepada aset negara, maka ayuhlah kita sebagai warga pendidik menyahut seruan tersebut untuk memastikan anak-anak murid kita mencapai wawasan yang diimpikan oleh negara. Sehingga berjumpa lagi di lain masa, dengan ucapan 'senyum selalu' dan akhir kata Assalamualaikum.

No comments: